QUOTE
Helicopter Nuri Hilang
Pesawat bawa 6 anggota TUDM dikhuatiri terhempas dekat Bentong
KUALA LUMPUR: Enam pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk seorang wanita, hilang apabila helikopter Nuri yang mereka naiki dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi di sini ke Kuantan, terputus hubungan dengan menara kawalan ketika di ruang udara Gombak, pagi semalam.
Sehingga jam 9 malam tadi, pesawat yang dalam penerbangan rutin ke TUDM Kuantan itu belum dapat dikesan, manakala nasib juruterbang, pembantu juruterbang, seorang kuarter master udara serta tiga penumpangnya tidak diketahui.
Pesawat itu bertolak dari Pangkalan TUDM Sungai Besi pada jam 9.25 pagi semalam dan terputus hubungan dengan menara kawalan 10 minit kemudian, dipercayai hilang di kawasan Genting Sempah dekat Bentong, Pahang.
Difahamkan, enam yang berada dalam pesawat Sikorsky S-61 itu ialah juruterbang dan pembantunya berpangkat kapten, dua sarjan udara serta dua lagi laskar udara kanan.
Sementara itu, juruterbang pesawat itu dikenal pasti sebagai Kapten Norazlan Termuzi, 29.
Bapanya, Datuk Termuzi Abd Aziz yang juga bekas Pengerusi Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), ketika dihubungi Berita Harian, malam tadi mengesahkan anaknya adalah juruterbang helikopter yang hilang itu.
Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Mejar Zulkiflee Abdul Latiff dalam satu kenyataan malam tadi, mengesahkan helikopter yang membawa tiga anak kapal dan tiga penumpang itu terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 9.35 pagi.
“Buat masa ini, helikopter itu belum dapat dihubungi atau dikesan. TUDM menubuhkan satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berpusat di Cawangan Pusat Menyelamat (RSC) Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi.
“Pasukan SAR udara membabitkan pesawat TUDM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah digerakkan untuk misi mencari dan menyelamat. Gerakan darat pula membabitkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Pasukan Khas Udara (Paskau) TUDM,” katanya.
Beliau berkata, keluarga semua anak kapal dan penumpang helikopter itu sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Sementara itu, sumber TUDM berkata, pesawat berkenaan dalam perjalanan membawa tiga anggota dari 10 Skuadron ke TUDM Kuantan untuk menggantikan tugas rakan mereka yang dijadualkan kembali ke Kem Sungai Besi.
“Sebaik terputus hubungan, kami cuba menghubungi mereka menerusi talian kecemasan helikopter dan telefon bimbit, tetapi gagal.
“Beberapa minit selepas terputus hubungan, TUDM menghantar dua pasukan udara membabitkan pesawat Nuri dari Kuantan dan Kuala Lumpur serta pasukan darat ke lokasi ia dipercayai hilang, tetapi angin kencang dan awan rendah menyukarkan usaha mengesannya,” kata sumber itu.
Kali terakhir juruterbang pesawat itu menghubungi bilik kawalan udara ialah pada jam 9.28 pagi ketika berada di ‘check point’ ruang udara Gombak.
“Itu adalah hubungan radio terakhir pesawat dengan menara kawalan. Selepas itu segala perhubungan terputus dan pesawat hilang daripada radar.
“Setakat ini, kita belum pasti apa yang berlaku kepada pesawat dan anak kapalnya. Kita sudah memaklumkan kepada pasukan penyelamat supaya membuat persediaan menghadapi apa saja kemungkinan,” kata sumber itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed, berkata pihaknya mendapat panggilan daripada TUDM pada jam 2.30 petang semalam melaporkan kehilangan pesawat itu dan meminta bantuan.
“Selepas menerima panggilan itu, polis menggunakan semua sumber yang ada untuk membantu mengesan helikopter berkenaan, tetapi setakat ini ia masih gagal ditemui.
“Kita tidak boleh mengesahkan sama ada pesawat itu terhempas kerana tiada maklumat untuk mengesahkannya dan setakat ini kita hanya mengandaikan helikopter itu hilang,” katanya.
Pada 10 Januari 1982, pesawat Cessna 206 yang dipandu Tun Mohd Ghazali Shafie, ketika itu menteri luar, terhempas di Kampung Janda Baik, ketika melalui laluan udara yang sama.
Bagaimanapun, dalam nahas itu, Mohd Ghazali terselamat ,manakala pembantu juruterbang dan pengawal peribadinya terbunuh.
INFO: Senarai nama anak kapal
Juruterbang, Kapten Norazlan Termuzi
Pembantu Juruterbang, Kapten Nor Intan Asykeen Mohamad Arof
Sarjan Udara, Husanizam Arifin
Sarjan Udara, Mohd Azmi Mohd Yassin
Laskar Udara Kanan, Mohd Riduan Ahmad
Laskar Udara Kanan, Saifulizam Alias